DAILY EXPRESS - Beruang tertua di Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo mati pada usia 33 tahun

Published on: Sun, Jun 28. 2026
By: Winnie Kasmir

https://www.dailyexpress.com.my/news/283816/beruang-tertua-di-pusat-pemuliharaan-beruang-matahari-borneo-mati-pada-usia-33-tahun/

SANDAKAN: Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC) berkabung atas kehilangan penghuni tertuanya, Amaco, yang mati dengan tenang pada 24 Jun lalu pada usia 33 tahun selepas mengalami kemerosotan tahap kesihatan.

Pengasas BSBCC, Dr Wong Siew Te berkata Amaco menunjukkan tanda-tanda kesihatan semakin merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk hilang selera makan, lemah dan sukar berdiri. Ujian darah turut menunjukkan fungsi buah pinggangnya semakin merosot selain mengalami anemia.

“Amaco didapati telah mati dengan tenang oleh penjaganya ketika pemeriksaan rutin pada waktu pagi. Bedah siasat kemudian mendapati paru-paru dan hatinya mengalami kongesi teruk, menunjukkan sistem peredarannya telah terjejas dengan ketara. Penemuan itu selaras dengan kemerosotan organ akibat faktor usia dan penyakit jantung kronik,” katanya dalam satu kenyataan.

Kisah hidup Amaco disifatkan sebagai lambang ketabahan. Sebelum ditempatkan di BSBCC, ia menghabiskan 18 tahun hidupnya di dalam sangkar kecil di sebuah ladang. Walaupun kemudiannya diberi ruang berkeliaran di kawasan hutan yang lebih luas di pusat pemuliharaan itu, Amaco lebih gemar berada berhampiran sangkarnya, yang menjadi tempat paling selamat baginya selepas bertahun-tahun hidup dalam kurungan.

Memahami tingkah lakunya, pasukan penjagaan haiwan BSBCC memastikan Amaco menerima penjagaan, pengayaan dan perhatian khusus sambil membolehkannya hidup dengan selesa dalam persekitaran yang dipilihnya sendiri.

Dikenali dengan sifat lembut tetapi berdikari, Amaco menjadi kegemaran dalam kalangan penjaga, sukarelawan dan pengunjung. Walaupun tenang, ia turut dikenali kerana mengeluarkan bunyi salakan tersendiri apabila tidak berpuas hati dengan sesuatu.

Pada usia 33 tahun, Amaco hidup jauh melepasi jangka hayat purata beruang matahari di habitat liar, sekali gus menjadikannya beruang matahari tertua di bawah jagaan BSBCC. Sepanjang berada di pusat itu, Amaco menjadi duta pemuliharaan beruang matahari dan memberi inspirasi kepada ribuan pengunjung serta penyokong hidupan liar.

BSBCC turut merakamkan penghargaan kepada semua individu yang mengambil bahagian dalam program pengangkatan Amaco serta penyokongnya, sambil menyatakan sumbangan mereka membantu menyediakan penjagaan, keselesaan, aktiviti pengayaan dan kebajikan terbaik sepanjang hayatnya.

“Terima kasih, Amaco, atas segala kenangan, pengajaran dan kegembiraan yang telah kau berikan kepada kami. Kamu akan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati kami dan tidak akan dilupakan. Bersemadilah dengan tenang, sahabat lama kami,” kata Wong.

Next
Next

SABAH MEDIA - Amaco, beruang madu tertua BSBCC mati pada usia 33 tahun