BERITA HARIAN ONLINE - Amaco ditemui mati, beruang madu tertua antara paling disayangi di BSBCC

Published by: Berita Harian Online
Published on: 26 Jun 2026

SANDAKAN: Seekor beruang madu tertua di Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC), di sini, ditemui mati di pusat itu pada Rabu lalu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC, Dr Wong Siew Te, berkata beruang dikenali sebagai Amaco berusia 33 tahun itu didapati tidak bernyawa oleh penjaga di pusat itu ketika melakukan pemeriksaan rutin.

Katanya, keputusan ujian darah kemudian menunjukkan fungsi buah pinggang Amaco semakin merosot, selain mengalami anemia.

Beliau berkata, kesihatan Amaco merosot sejak beberapa minggu lalu serta hilang selera makan, selain lemah dan mengalami kesukaran untuk berdiri.

"Hasil bedah siasat terhadap bangkai Amaco mendapati berlaku kesesakan ketara pada paru-paru dan hati, menandakan sistem peredaran darahnya terjejas.

"Keadaan itu selaras kemerosotan fungsi organ akibat faktor usia serta penyakit jantung kronik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siew Te memaklumkan sebelum ini, Amaco diselamatkan dari sebuah ladang selepas dikurung dalam sangkar kecil selama 18 tahun.

Katanya, pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam terhadap Amaco apabila ia dilihat lebih gemar berada berhampiran sangkar di BSBCC walaupun diberi akses kepada kawasan hutan semula jadi di pusat pemuliharaan berkenaan.

Sebagai beruang madu tertua di pusat itu, beliau berkata, Amaco dikenali dengan sifatnya yang lembut, berdikari dan mempunyai personaliti tersendiri.

"Pada usia 33 tahun, Amaco hidup jauh melebihi purata jangka hayat beruang madu yang tinggal dalam habitat liar.

"Sepanjang berada di BSBCC, ia menjadi antara penghuni paling disayangi kakitangan, sukarelawan serta pengunjung," katanya.

Siew Te sekali gus merakamkan penghargaan kepada pihak yang menyertai program pengambilan haiwan angkat yang dilaksanakan BSBCC, dan menyifatkan sumbangan terbabit membolehkan Amaco menikmati penjagaan serta keselesaan sepanjang berada di fasiliti itu.

Previous
Previous

HARIAN METRO - Amaco, beruang madu tertua di BSBCC ditemukan mati

Next
Next

SMK Balaban Jaya Open Day (Balaban Jaya Fest) 2026