Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo, Sepilok Catat Lebih 246,000 Pelawat Pada 2025
Published by: Sabah News
Published on: Tuesday, January 12, 2026
By: Adib Safwan
Retrieved on: Wednesday, January 14, 2026
SANDAKAN: Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo (BSBCC) dan Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok terus mencatat peningkatan jumlah pelawat apabila merekodkan lebih 246,000 kunjungan sepanjang tahun 2025.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, BSBCC menerima seramai 90,760 pelawat tempatan dan antarabangsa tahun lalu, menjadikannya satu-satunya pusat di dunia yang membolehkan pengunjung melihat beruang matahari dalam habitat hutan semula jadi.
Beliau yakin jumlah itu akan terus meningkat selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, selain pemilihan beruang matahari sebagai maskot rasmi negara yang dijangka menarik lebih ramai pelancong.
“Sementara itu, Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok merekodkan sebanyak 155,406 kemasukan pelawat pada 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara tarikan ekopelancongan utama Sabah dan pemacu kehadiran pelancong antarabangsa ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Foyer Baharu BSBCC, Pusat Informasi baharu Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok serta penaiktarafan Boardwalk Sepilok di sini, hari ini.
Menurutnya, peningkatan kemudahan tersebut akan memberi pengalaman lebih selesa kepada pengunjung selain menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar dan pembangunan ekonomi setempat.
“Usaha bersepadu antara sektor pelancongan dan pemuliharaan mampu memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara sambil menjana manfaat jangka panjang kepada komuniti tempatan,” tambahnya.
