Fakta Beruang Madu

Maklumat Umum

Status: Terdedah
Nama aintifik: Helarctos malayanus
Ketinggian (berdiri atas 2 kaki): 120 – 150cm
Berat: 20 – 70kg
Habitat: Kawasan tanah rendah tropika, Asia Tenggara.
Tabiat Pemakanan: Omnivor
Jumlah Anak Untuk Setiap Kelahiran: Satu (1) (secara purata)
Jangka Hayat: 30 tahun

Beruang madu boleh didapati di hutan tropika tanah rendah dan merupakan salah satu spesis beruang yang boleh dijumpai di Asia Tenggara. Mereka kebanyakannya aktif pada waktu siang dan tidak berhibernasi tetapi mampu membuat sarang di atas pokok untuk tidur. Mereka bersifat omnivor dan selalunya akan memakan invertebrata, buah-buahan dan madu.

Beruang Matahari (dalam laman sesawang ini kami menggunakan terma ‘Beruang Madu’ dengan lebih kerap) adalah beruang terkecil, yang paling arboreal dan paling kurang dikaji di seluruh dunia. Ianya merupakan spesis kedua paling jarang ditemui selepas beruang panda.

Nama mereka berasal daripada bentuk corak di dada mereka yang berwarna kuning keemasan yang menyerupai matahari yang terbit atau terbenam. Tiada tanda dada antara dua individu yang sama, menjadikan ia unik kepada individu tersebut.

Mereka mempunyai lidah panjang sehingga 20 25sm. Ini membantu mereka untuk mendapatkan madu dari sarang lebah di pokok, memberikan mereka nama jolokan ‘beruang madu’ dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia.

Beruang Madu adalah beruang terkecil di dunia.

Mereka mempunyai lidah yang panjang​

Sarang burung enggang di lubang pokok yang dibuat oleh beruang madu.​


Mengapakah mereka penting?

Tabiat semulajadi mereka membantu memastikan hutan dalam keadaan yang sihat. Mereka membantu menyebarkan biji benih dan mengawal populasi anai-anai. Mereka menggali tanah untuk mencari invertebrata seperti semut dan anai-anai dan ini membantu meningkatkan kesuburan tanah. Mereka juga membantu membuat tapak untuk sarang haiwan seperti burung enggang dan tupai terbang dengan cara merobek batang pokok untuk mendapatkan madu atau serangga di dalam batang pokok tersebut.

Kehilangan hutan merupakan ancaman terbesar terhadap beruang madu.


Ancaman

Jumlah populasi beruang madu menurun sebanyak lebih kurang 30% dalam tempoh 30 tahun menyebabkan mereka diklasifikasikan sebagai ‘terdedah’ pada tahun 2007, bermakna mereka berada dalam risiko kepupusan dalam habitat liar (IUCN, 2007). Beruang madu menghadapi tiga (3) ancaman utama:

Kehilangan Habitat - Seperti spesis-spesis yang lain, penebangan hutan dan kerosakan habitat telah mengurangkan jumlah mereka secara dramatik. Punca utama di Borneo adalah pembangunan ladang, pembalakan secara haram atau secara tidak lestari dan juga kebakaran yang berpunca daripada manusia. Di Sumatra dan Borneo, penukaran hutan kepada ladang sawit atau tanaman-tanaman lain berlaku secara berskala besar pada kadar 1,000 km persegi setiap tahun (Holmes, 2002).

Pemburuan Komersil dan Haram - Kebiasaannya, beruang madu diburu untuk hempedu mereka (untuk diguna dalam perubatan tradisional Cina) dan tapak kaki mereka (untuk makanan mewah). Di China dan Vietnam, hempedu beruang ‘diperah’ daripada beruang tersebut ketika mereka masih lagi bernyawa. Kebiasaannya, beruang-beruang ini akan ‘digantikan’ dengan beruang madu dari populasi liar kerana mereka tidak akan hidup lama di dalam ‘ladang’ tersebut. Membunuh beruang madu adalah diharamkan dalam kesemua negara yang mempunyai populasi mereka, namun perkara ini secara amnya adalah tidak terkawal dengan baik.

Pemerdagangan Haiwan Peliharaan - Beruang madu merupakan beruang terkecil di dunia. Oleh itu, anda boleh bayangkan betapa comelnya anak beruang madu; ini menjadikan mereka antara sasaran penggemar haiwan peliharaan eksotik dan mempunyai nilai jualan tinggi dalam pasaran gelap. Sang ibu akan dibunuh untuk mendapatkan anak beruang madu dan kebiasaannya mereka akan disimpan di dalam kandang kecil dengan keadaan yang tidak terjaga.